Monday, February 05, 2007

alhamdulillah

abang baru pulang dari strathclyde accomodation. abang pergi bilik kawan kawan abang. mereka ajak abang ke sana untuk mejamu selera. awalnya mereka kata makan tengahari. tapi bila abang sampai tengahari tadi, rupanya baru nak masak. terpaksalah menolong.

tanpa berlengah, antara hidangannya:
  1. ikan sweet sour
  2. sotong goreng tepung
  3. ketam sebesar, lebih besar dari tapak tangan abang
  4. tiram
  5. cucur udang(awalnya nak buat macam tempura, tapi akhirnya jadi cucur saja
  6. ikan stim
  7. siput(ntah, abang tak tahu namanya)
  8. nasi goreng
  9. roti pita oven
  10. sambal tempe
  11. dan beberapa lagi hidangan seafood yang abang tak ingat dah.

di student accomodation, satu tingkat ada beberapa bilik di mana mereka akan berkongsi satu dapur. setiap bilik ada tandas masing masing. dapurnya bercantum sekali dengan ruang makan.

jadi, abang sampai dapur kira kira jam 1 petang. dan dalam jam 5.30 baru kami dapat makan.

setiba di dapur abang dikerah untuk sapu roti pita dengan minyak zaitun(bukan minyak zaitun yang selalu umi atau tok beli untuk rambut tu..). kemudian sedikit garam ditabur dan kemudian ditabur sedikit daun daun herba.

siap! abang panaskan oven. abang tunggu 10 minit. kemudian abang masukkan roti pita abang dengan bangganya. puas rasanya dapat menolong. seronok.

tapi selepas saja pintu oven ditutup, kedengaran nama abang dipanggil noris dan tugas seterusnya diberi. kali ini abang bertaggungjawab untuk menggoreng daun kari, sebagai antara bahan untuk masakan ketam. abang goreng. goreng dan menggoreng. selesai. sekali lagi abang puas. seronok rupanya memasak. lebih lebih lagi masak ramai ramai.

tidak sempat berehat, kuali panas terpaksa berkerja lagi. kali ini goreng bawang sehingga warnanya separuh emas. tanpa berlengah abang masukkan bawang. sedikit demi sedikit. abang tak tahu bawang yang telah digoreng untuk apa. yang abang tahu master chef telah beri arahan untuk goreng bawang. tak lama abang goreng, tiba tiba fairuz tolak abang, cepat cepat dia buka pintu oven.

puh! dapur berasap. cepat cepat tingkap dibuka. semua terbatuk batuk. dalam keriangan menolong, tiba tiba semangat memasak abang menjunam. roti pita abang hitam. amat hitam. sungguh hitam. haha. semua orang terdiam. hanya memerhati hakikat nasib roti pita.

zas, tiba tiba semua yang ada tergelak serentak, sungguh malang. abang kemudian tak sentuh perkara perkara panas lagi. abang terpaksa kikis kerak kerak hitam roti pita tadi. abang tukar shif. selepas itu, abang hanya buat kerja kerja sampingan seperti potong bawang dan sebagainya.

tapi tak lama selepas itu, kesilapan sama berlaku, memang hari yang malang bagi roti pita. dan buat abang, hari yang paling banyak roti pita abang kikis kerak hitamnya.

selesai memasak, ruang makan dan dapur dikemas. abang cuci pinggan pinggan terakhir. meja dan kerusi disusun. sekali pandang, jag penuh dengan air sejuk bercampur pic dan nenas, dan ais terapung apungan sungguh menangkap perhatian. di meja pula, tiram, ketam, ikan ikan dengan pelbagai jenis masakan, sotong, udang, sungguh menggiurkan. fairuz kemudian mengajak rakan rakan dari bilik lain. ye lah, sudah guna dapur mereka, takkan pula mahu makan sesama kita saja ya?

antara yang datang ialah faisal, dari india, hassan dari palestin, abdul salam dari libya, dan seorang lagi, dari jordan, namanya tak silap abang, samar, sahar, sarah.. eh, abang lupa pula. tapi namanya mula dari 's'.

kami makan dan makan. makan dan makan. masakan laut bukanlah masakan arab, jadi mereka amat suka. sedap kata mereka.

abang cuba tiram. besar tiramnya. tak masak. fresh dari pasar, kopek, letak tabasco, sedikit thousand island, lemon, dan makan. abang tak pernah makan tiram. abang tak tahu rasanya bagaimana. ramai kata sedap. abang juga mahu cuba. rasanya sangat lembut. macam jeli tapi lembut lagi. cair cair. setelah masuk dalam mulut, abang tahu, tiram tak sesuai dengan tekak abang. tapi sudah dalam mulut. takkan pula nak dikeluarkan sedang orang lain masih selera makan? jadi dengan rasa terpaksa abang telan. perlahan lahan, lendir tiram tadi bergerak, lalu di pangkal lidah dan seterusnya ke anak tekak dan jatuh ke perut. fuh, lega. sampai terkeluar air mata.

janji abang takkan makan tiram mentah lagi. hendak telan pil ubat pun seksa bagi abang inikan pula tiram yang lembut dan berlendir. abang tak benci, cuma tak suka. kalau ada sesiapa suka, alhamdulillah.. ciptaan tuhan.

hari telah gelap, abang bangun hendak mengundurkan diri. berangkat pulang. makanan masih banyak lagi terhidang di atas meja. jadi, seekor ikan makerel grill telah abang bawa pulang. fuh, tak perlu masak esok. lega.

abang pulang dengan hati girang, penuh riang, perut besar, mata semakin kecil. namun begitu, sempat abang buka blog, dan rasa mahu berkongsi hari abang hari ini.

sekian terima kasih.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


My Stats